Amalan semangat kejiranan penting dalam mengurangkan kadar jenayah setempat


   
                                                         PENGENALAN

  Berdepan realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini,  isu kelunturan semangat kejiranan dalam jiwa kalangan masyarakat semakin menjadi perbualan hangat serta sering memenuhi ruangan akhbar pada hari ini.  Semakin hari, isu ini sering ditujukan kepada generasi muda khususnya para remaja.Memang tidak dapat dinafikan bahawa gejala sosial yang semakin berleluasa ini adalah salah satu punca kelunturan semangat kejiranan.  Bukan itu sahaja malahan menjadi punca dominan yang jelas dilihat padahari ini.  Tambahan pula, semangat kejiranan seharusnya dipupuk melalui pengamalan sikap keperibadian yang mulia seperti bekerjasama, prihatin dan bertolak  ansur yang mampu membentuk jati diri untuk memperlihatkan kita sebagai masyarakat yang kaya dengan budi pekerti.  Sebagai masyarakat yang mendiami negara ini,  kita seharusnya bersyukur kepada Tuhan kerana masih dikurniakan keamanan.  Kita perlulah menyedari bahawa semangat kejiranan ini boleh dijadikan sebagai amalan gaya hidup intim yang wajar memandangkan negara kita telah merdeka sejak 58 tahun lamanya. 

       Menurut Tun Dr. Mahathir,  mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong,  kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri.  Hal ini secara tidak langsung menjadikan nilai-nilai murni yang diterapkan dapat dijadikan sebagai dorongan untuk meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.  Sememangnya kita perlu berfikir bahawa teknologi pada masa ini juga merupakan penyumbang kepada jurang pemisah antara masyarakat yang berbilang kaum ini.  Hal ini kerana, rambut sama hitam,hati lain-lain.  Persoalan yang sedang bermain-main dalam fantasi minda kita sekarang ialah adakah peranan kerajaan sahaja yang bertanggungjawab untuk memupuk semangat kejiranan? Jawapannya tidak. Hal ini kerana dalam usaha memupuk semangat kejiranan, memerlukan obligasi daripada pelbagai pihak untuk menyalurkan peranan mereka demi melahirkan masyarakat yang maju dari aspek sosial.  Oleh itu,  marilah kita menggunakan minda kelas pertama untuk mengupas topik kita dalam perbincangan ini iaitu langkah-langkah memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat secara terperinci untuk kepentingan semua pihak.

     Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasa Rasulullah S.A.W telah bersabda maksudnya :" Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat , maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya”.( hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

     Pelbagai pihak boleh menganjurkan ceramah tentang semangat kejiranan untuk mendidik rakyat Malaysia tentang pentingnya hidup berjiran. Murid-murid sekolah haruslah digalakan mengamalkan semangat kejiranan sejak masih kecil lagi. Pelbagai pertandingan harus dijalankan supaya murid-murid sekolah terdedah kepada konsep hidup berjiran.

Allah swt menyebut di dalam Al-Qur’an :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ

Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36). 


                                                         OBJEKTIF PENULISAN



 -Dapat membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara.

-Pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan di dalam diri
setiap masyarakat.

-Dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sangat berfaedah dan
membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara. 



                                                               HURAIAN ISI

Punca-punca semangat kejiranan semakin luntur dikalangan masyarakat

Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Semangat kejiranan 
merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat.Selain dapat memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat menyatupadukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita. Pelbagai punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin
luntur, antaranya perubahan gaya hidup masyarakat sekarang yang terlalu sibuk mencari rezeki
untuk menyara keluarga masing-masing. Kos sara hidup yang tinggi serta tekanan hidup dunia moden sering memaksa warga kota bekerja sepanjang hari. Sebagai akibatnya, mereka keletihan 
dan kesuntukan masa untuk bertegur sapa sesama jiran mereka. Manakala masyarakat sekarang bekerja sendiri yang tidak menekankan amalan kerjasama.

Selain itu, kemajuan dalam bidang teknologi turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan masa kini. Pada zaman sekarang., bidang teknologi semakin berkembang dengan maju dan pesat. Penggunaan media elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer pada masa sekarang yang menyebabkan semangat kejiranan kini semakin hilang. Masyarakat sekarang terlalu asyik menggunakan kemudahan yang terdapat di sekeliling mereka yang tidak memerlukan mereka keluar rumah dan bersusah-payah untuk mendapatkannya. Budaya sebegini menyebabkan amalan kunjung-mengunjungi sesama jiran semakin berkurangan.

Arus pembangunan yang semakin pesat melanda negara kita juga menjadi punca semangat kejiranan semakin luntur pada masa kini. Dewasa ini, pembangunan negara berlaku dengan pesat sekali.Hal ini mengakibatkan semangat kejiranan semakin luntur kerana masyarakat akan menghabiskan masa terluang mereka dengan mengunjungi tempat-tempat seperti pusat beli-belah, taman-taman permainan dan juga pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan. Situasi ini perlu ditangani dengan segera demi kebaikan semua pihak. Kita tidak ingin melihat wujudnya masyarakat yang mementingkan diri sendiri berpanjangan dalam masyarakat.



Kesan kesan semangat kejiranan semakin kurang

-Kes pecah rumah menigkat
-Kes kecurian semakin berleluasa dikawasan kejiranan
-Kes penculikan juga salah satu kesan dimana tiada pengawal rondaan di kawasan kejiranan tersebut
-Tidak kenal jiran sendiri walaupun sebelah rumah



Langkah langkah mengekalkan semangat kejiranan

Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.

Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.Kepentingan semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep perpaduan amat strategik. Sesuatu masyarakat sesebuah negara itu terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak pembentukan konsep perpaduan nasional.

 


                                                      

                                                                     KESIMPULAN

Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini.Semangat kejiranan adalah amat penting dalam kehidupan kita seharian. Jadilah jiran yang baik dan bertanggungjawab. Kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.


Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”.Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh.

Jadi harapan kami, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera, usaha memperkukuh tradisi hidup berjiran yang harmoni menjadi aset penting untuk membentuk sebuah negara yang maju dan selamat.




LAMPIRAN




 


RUJUKAN






Al-Quran dan Hadis














 
 

Comments

Popular posts from this blog

Ahli Kumpulan